L’PISODES PHYSIOTHERAPY & CHILD REHAB SKUDAI DAN MUTIARA EDUCATION SDN. BHD. MEMETERAI KERJASAMA STRATEGIK DEMI KESEJAHTERAAN KANAK-KANAK

L’PISODES PHYSIOTHERAPY & CHILD REHAB SKUDAI DAN MUTIARA EDUCATION SDN. BHD. MEMETERAI KERJASAMA STRATEGIK DEMI KESEJAHTERAAN KANAK-KANAK
MUTIARA RINI, 6 Mei 2025 – Satu langkah penting ke arah meningkatkan kesedaran dan sokongan kepada kanak-kanak berkeperluan khas telah dimeterai melalui kerjasama strategik antara L’Pisodes Physiotherapy & Child Rehab dan Mutiara Education Sdn. Bhd.
Mutiara Education Sdn. Bhd., adalah sebuah organisasi pendidikan kanak-kanak yang komited dalam membentuk generasi muda yang sihat dari segi fizikal, emosi dan kognitif telah bersetuju untuk menjalinkan hubungan kerjasama berterusan dan jangka panjang bersama L’Pisodes Physiotherapy & Child Rehab Cawangan Skudai yang merupakan pusat pemulihan berdaftar dan aktif dalam bidang penjagaan kesihatan, terapi pemulihan serta pembangunan kanak-kanak.
Kerjasama ini merangkumi beberapa inisiatif utama yang dijangka dapat memberikan impak besar kepada komuniti pendidikan awal kanak-kanak. Antara fokus utama adalah pelaksanaan program khas bagi melatih guru prasekolah dalam pengendalian kanak-kanak berkeperluan khas. Latihan ini bertujuan meningkatkan keupayaan dan kefahaman guru terhadap keperluan unik setiap murid agar interaksi dan pengajaran dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan. Selain itu, kedua-dua pihak turut komited dalam usaha mengumpul dan menganalisis kajian kes sebenar untuk dijadikan asas dalam pembangunan dan pengemaskinian modul latihan, bagi memastikan pendekatan yang digunakan sentiasa relevan dan praktikal mengikut situasi semasa.
Dalam kerjasama ini juga, L’Pisodes Physiotherapy & Child Rehab yang bernaung di bawah Alqarni Meditech Sdn. Bhd. akan berperanan sebagai pusat rehabilitasi dan rujukan rasmi bagi sebarang isu berkaitan perkembangan serta pemulihan kanak-kanak berkeperluan khas. Ini membolehkan intervensi dan sokongan yang lebih terarah dapat diberikan kepada mereka yang memerlukan. Tambahan pula, pelbagai kempen, forum dan sesi interaktif akan digerakkan bersama bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan ibu bapa mengenai tanda-tanda awal masalah perkembangan, kepentingan intervensi awal, dan sumber sokongan yang boleh diakses demi kebaikan anak-anak mereka.
Kerjasama ini menandakan satu permulaan baharu dalam memupuk ekosistem sokongan yang lebih menyeluruh buat kanak-kanak berkeperluan khas, selari dengan matlamat membentuk masyarakat yang lebih inklusif dan prihatin.
Dengan usaha bersepadu kedua-dua pihak, adalah diharapkan lebih ramai pihak akan turut serta dalam menyokong pembangunan menyeluruh kanak-kanak yang bukan sahaja dari aspek akademik, tetapi juga dari segi emosi, sosial dan kesihatan mereka.