TAKLIMAT KESIHATAN & KESEDARAN FISIOTERAPI @ KWSP BATU PAHAT
25 SEPTEMBER 2024 – TAKLIMAT KESIHATAN & KESEDARAN FISIOTERAPI @ KWSP BATU PAHAT
KWSP Batu Pahat telah menganjurkan satu program taklimat kesihatan dan kesedaran fisioterapi bersama Episodes Physio Rehab. Taklimat tersebut telah disampaikan oleh Dr Mohd Syarif bin Abd Wahab, Pengarah Urusan Alqarni Meditech Sdn Bhd yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan ergonomik di tempat kerja serta risiko kecederaan yang sering dialami oleh para pekerja.
Program ini turut menekankan pentingnya langkah pencegahan terhadap masalah kesihatan yang berkaitan dengan postur dan pergerakan di tempat kerja. Ergonomik memainkan peranan penting dalam memastikan keselesaan dan keselamatan pekerja semasa menjalankan tugas harian.
Dalam program ini, para peserta diberi pendedahan tentang pentingnya mengamalkan ergonomik yang betul di tempat kerja, terutamanya bagi mereka yang terlibat dengan tugas-tugas yang memerlukan duduk atau berdiri dalam tempoh yang lama. Kedudukan badan yang betul semasa duduk, penggunaan peralatan pejabat seperti kerusi dan meja yang sesuai, serta cara-cara untuk mengurangkan ketegangan otot telah diterangkan secara mendalam. Ini adalah langkah penting untuk mengelakkan tekanan yang berlebihan pada sendi dan otot yang boleh menyebabkan kecederaan jangka panjang.
Antara penyakit yang sering dihadapi oleh pekerja akibat postur dan aktiviti yang tidak ergonomik termasuklah Carpal Tunnel Syndrome (CTS), slip disc, dan sakit belakang. Dalam sesi ini, peserta diterangkan tentang bagaimana aktiviti kerja seharian seperti penggunaan tetikus dan papan kekunci yang berulang-ulang boleh meningkatkan risiko CTS, di mana saraf di pergelangan tangan menjadi terhimpit dan menyebabkan kesakitan serta kebas.
Slip disc pula kerap berlaku akibat postur duduk yang tidak betul, terutamanya bagi mereka yang duduk dalam tempoh yang lama tanpa mengambil rehat. Sakit belakang adalah masalah umum yang disebabkan oleh ketegangan pada otot dan ligamen di bahagian belakang. Tuntasnya program taklimat ini telah berjaya memberi kesedaran kepada para pekerja di KWSP Batu Pahat tentang pentingnya menjaga kesihatan tubuh badan melalui amalan ergonomik yang betul dan langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan risiko kecederaan. Program ini juga diharapkan dapat membantu peserta dalam mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat dan selamat di tempat kerja.
#episodesphysiorehab #lmedinaclinic #showtime #physio #health #kwspbatupahat #event #program #batupahat #medicaltalk #heroes